Mulanya saya tidak ada hajat untuk menyentuh kekalutan pemilihan jawatan khasnya perebutan jawatan ketua cabang Julau di Sarawak, biarlah parti itu dan ahli-ahlinya menguruskan sendiri. Tetapi apabila semacam kes di Julau itu dilayan sengit sebelah, dan sebagai orang yang tidak boleh menutup mata dengan topi terhadap apa-apa penyelewengan dan kebejatan demoktasi, saya menjadi gatal jari juga untuk mengetuk keyboard Ipad ini.

Melihat kepada kekalutan apa yang berlaku di cabang Julau itu sewajarnya perebutan cabang itu digantung untuk mengutuhkan integriti PKR. Saya ada bertanya seseorang bagaimana sikap penasihat umumnya Anwar Ibrahim, katanya Anwar mahu ia diteruskan. Ertinya kekalutan di Julau itu bukan noda buat Anwar.

Agak pelek juga saya kenapa dengan sikap Anwar itu. Apakah kerana Julau merupakan cabang penentu kepada perebutan Rafizi dengan Azmin maka beliau membiarkan perlawanan dalam cabang yang “bermasalah” itu diteruskan juga. Bolehkan dianggap sikap Anwar itu mengesankan rakaman suaranya yang ditularkan yang dia membaruakan Azmin?

Saya tidak mahu menyenaraikan kekalutan yang berlaku dalam cabang Julau sepenuhnya, tetapi cukup membawa dua isu sahaja. Pertama, pertambahan ahli yang begitu ketara tidak masuk akal, dari hanya lebih 600 orang kepada mencecah 13,000. Bangai di Julau sudah meruap.

Kedua, salah seorang calon yang dibenarkan bertanding itu didakwa sebagai belum matang menjadi ahli PKR. Dia menyertai ahli PKR tidak sampai setahun. Tetapi kenapa dizinkan?

Sebenarnya ini tidak menghairankan kerana bukan calon itu sahaja ada calon lain yang juga belum masak atau masih bertukar slogan PKR daripada Reformasi kepada Inflasi.. menjadi ahli PKR, tetapi dibenarkan bertanding dalam PKR. Saya rujukkan kepada tiga calon ketua cabang di Kelantan, di mana bendera Umno masih melekat dibadan tetapi mereka dibenarkan bertanding, atas kuasa prerogetif presiden Dr Wan Azizah. Dimanakah integriti presiden dalam hal ini atau beliau dimanipulasikan?

Saya percaya calon di Julau itu juga statusnya sama dengan tiga calon ketua di Kelantan itu yang sudah menang dalam perlawanan. Soalnya kenapa mereka dibenarkan bertanding, seperti calon di Julau itu apakah kerana mereka kaya?

Kalau kerana mereka kaya, ertinya perjuangan PKR bukan berdasarkan semangat marhaen yang melaungkan Reformasi lagi. Apakah ia sudah diubah kepada laungan slogan lain dan kriteria yang perlu diangkat jadi pemimpin mereka yang kaya dan berwang? Kalau benar begitu apa yang hendak saya katakan, bahawa benarlah falsafah saya yang sumpah dan janji dalam politik itu tidak boleh dipercayai.

Malanglah bagi PKR yang ditubuhkan dengan semangat Reformasi berlatarkan marhaen akhirnya bertukar menjadi perjuangan yang menyanjungi orang-orang yang kaya raya yang mana mereka boleh membeli PKR itu dan menafikan perjuangan 20 tahun dengan wang ringgit. Trims…..Mohd Sayuti Omar (MSO)