KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN

Kenyataan media ini adalah berkaitan proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini.

A. Keputusan Pengundian Semula Cabang Keningau, Pensiangan dan
Tawau di Sabah

1. Biro Politik Keadilan, pada mesyuarat bertarikh 7 November 2018 telah diberikan Iaporan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tentang beberapa kecacatan dan pelanggaran proses pengundian yang berlaku di Cabang Keningau, Pensiangan dan Tawau.

i. Cabang Keningau :

Pihak JPP membuat keputusan untuk menangguhkan proses pengundian kerana berlaku pertukaran lokasi disaat akhir yang melibatkan premis yang tidak sesuai serta liputan internet yang lemah.

ii. Cabang Pensiangan :

Persetujuan dicapai oleh semua pihak dengan petugas JPP, calon-calon dan pihak OCPD untuk tidak meneruskan proses pengundian dengan menandatangani notis persetujuan penangguhan atas alasan keselamatan.

iii. Cabang Tawau :

Pengundian dibatalkan dan ditangguhkan oleh JPP selepas JPP mendapati pengundian telah dijalankan oleh pihak ketiga bagi anggota parti yang sepatutnya mengundi sendiri.

2. Pada akhir laporan tersebut, JPP telah mencadangkan untuk pengundian semula dijalankan di Cabang-Cabang tersebut. Biro Politik telah membincangkan laporan tersebut dan telah bersetuju secara sebulat suara dengan syor dan/atau cadangan pihak JPP bahawa pengundian semula hendaklah diadakan di Cabang-Cabang berkenaan seperti berikut:

i.Cabang Keningau : 10 November 2018
ii. Cabang Pensiangan : 11 November 2018
iii. Cabang Tawau : 11 November 2018

B. Isu Status Keanggotaan Parti

1. Jumlah anggota Keadilan sehingga setakat 9 Mei 2018 (tarikh keputusan Pilihan Raya Umum ke-14) ialah 547,031 anggota. Jumlah ini adalah terdiri daripada gabungan anggota-anggota yang mendaftar menggunakan kaedah borang sejak parti tertubuh pada 4 April 1999 dan jumlah yang mendaftar secara atas talian (online) sejak sistem atas talian diperkenalkan oleh parti pada tahun 2014.

2. Namun, selepas 9 Mei 2018 permohonan untuk menganggotai Parti Keadilan Rakyat telah meningkat secara mendadak. Trend ini telah menyebabkan sistem pendaftaran secara atas talian menghadapi masalah teknikal dan kesesakan luar biasa. Sehubungan dengan itu, pihak Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada 25 Jun 2018 telah bersetuju, sementara permohonan atas talian diteruskan, dan sistem permohonan tersebut dipertingkatkan kecekapannya, permohonan melalui kaedah borang dan manual iaitu penyerahan permohonan secara soft copy juga akan diterima.

3. Bagi tujuan pemilihan Parti Keadilan Rakyat, MPP juga telah bersetuju bahawa tarikh tutup permohonan keanggotaan baharu ialah pada 26 Jun 2018, tepat jam 12 malam. MPP juga membuat keputusan bahawa kesemua permohonan yang diterima sebelum tarikh tersebut akan diluluskan oleh parti setelah melalui proses semakan dan bantahan dari Cabang-Cabang.

4. Dalam pada itu, tempoh bantahan untuk Cabang-Cabang membuat bantahan terhadap sebarang permohonan keanggotaan baharu telah dibuka sehingga 17 Julai 2018. Untuk maksud tersebut, Biro Politik telah melantik YB Dr Xavier Jayakumar untuk mengetuai satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti ke semua bantahan-bantahan yang dibuat oleh Cabang-Cabang.

5. Merujuk kepada kes Cabang Julau, Sarawak, sehingga tarikh tutup bantahan pada 17 Julai 2018, TIADA sebarang bantahan telah diterima oleh pihak Ibu Pejabat Keadilan dari Cabang Julau.

Walaubagaimanapun, pihak lbu Pejabat Keadilan telah mengambil inisiatif dengan menghantar kakitangan untuk turun sendiri ke Cabang Julau bagi mengumpul kesemua borang-borang permohonan keanggotaan baharu parti dan membawa kesemuanya ke lbu Pejabat parti untuk proses verifikasi. Laporan terperinci berkenaan perkara tersebut telah dibentangkan kepada Biro Politik.

6. Pihak lbu Pejabat parti telah bertindak secara proaktif dengan memberikan perhatian khusus kepada kes melibatkan Cabang Julau walaupun tiada sebarang aduan khusus diterima Oleh pihak lbu Pejabat tentang Cabang Julau sehingga 17 Julai 2018, iaitu tarikh akhir bantahan Oleh Cabang-Cabang berkaitan kesemua permohonan keanggotaan baharu.

7. Sebagai perbandingan, pada masa yang sama, pihak lbu Pejabat parti juga ada menerima aduan berkenaan lebih 1000 permohonan keanggotaan baharu yang melibatkan Cabang Batu, yang dilakukan tanpa sebarang serahan borang permohonan keanggotaan sehingga hari ini.

Begitu juga aduan terhadap kes-kes permohonan pendaftaran anggota baharu di Selangor dari kalangan anggota RELA dan penerima-penerima bantuan dari kerajaan Negeri Selangor, yang kesemuanya telah didaftarkan sebagai anggota baharu parti tanpa pengetahuan mereka di beberapa Cabang di Selangor. Kes-kes seperti ini telah dimaklumkan kepada Biro Politik dan permohonan keanggotaan baharu untuk kes-kes tersebut telah diterima oleh Biro Politik secara sebulat suara. Namun tiada liputan media berlaku dalam kes-kes tersebut selain daripada Cabang Julau.

8. Mengikut rekod lbu Pejabat Keadilan, penerimaan permohonan keanggotaan baharu yang tidak secara atas talian (secara manual) setakat jam 12 malam, 26 Jun 2018 adalah berjumlah 22,673 dari seluruh negara. Sementara itu, mengikut rekod Ibu Pejabat Keadilan juga, permohonan Cabang Julau telah diterima pada jam 2 petang 12 Jun 2018.

9. Kesemua permohonan keanggotaan baharu yang secara manual ini telah diproses oleh Ibu Pejabat Keadilan pada 27 Jun 2018.

10. Kesemua permohonan keanggotaan baharu ini seterusnya telah diperakukan dan didaftarkan sebagaimana pekeliling Setiausaha Agung kepada anggota-anggota Biro Politik bertarikh 27 Jun 2018.

Sebagai rumusan, perhatian yang berlebihan terhadap kes yang melibatkan Cabang Julau ini adalah akibat sentimen keterlaluan bagi mempertahankan kelompok masing-masing, sedangkan kesemua proses pengurusan yang melibatkan proses pengundian di Cabang-Cabang dan pendaftaran keanggotaan baharu parti ini telah dilakukan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab mengikut keputusan dan garis panduan yang telah dipersetujui dan ditetapkan sama ada melalui MPP mahu pun Biro Politik parti.

Sekian, terima kasih.

SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat
9 November 2018
6.00 petang

 

 

PEMILIHAN PKR

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menerima teguran yang dibuat PKR Sarawak bahawa beliau telah mengabaikan tugasnya dalam mengendalikan aduan mengenai kejanggalan keahlian di cabang Julau yang menyaksikan peningkatan anggota secara mendadak.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan aduan pertambahan mendadak ahli PKR itu bukan di bawah bidang kuasanya.

Sebaliknya, Saifuddin berkata hal tersebut telah dipertanggungjawabkan kepada penyandang jawatan naib presiden parti Dr Xavier Jayakumar.

“Saya tak kecil hati dengan (teguran) PKR Sarawak, mungkin mereka tidak dapat maklumat (yang tepat) mengenainya tetapi saya OK saja.

“Untuk makluman PKR Sarawak soal PKR Sarawak mengatakan dia telah menulis kepada saya betullah, semua sampai ke pejabat dan ia ditugaskan kepada Dr Xavier (penyandang naib presiden PKR) untuk bertindak dan ia bukan di bawah saya.

“Dan proses itu juga telah berjalan dan segala bantahan telah disemak oleh jawatankuasa yang terlibat dan saya tak terlibat dengan jawatankuasa itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perjumpaan bersama-sama NGO) Kepenggunaan Tahun 2018, di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengulas teguran PKR Sarawak terhadapnya yang didakwa mengabaikan tugasnya.

1,000 ahli baru nafi sertai PKR

Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin semalam mendakwa Saifuddin gagal bertindak terhadap dakwaan kejanggalan keanggotaan dalam PKR Cabang Julau yang dibuat dalam tempoh bantahan yang ditetapkan.

Selain peningkatan anggota, terdapat dakwaan pihak yang didaftar menjadi ahli tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka, katanya.

“Ini adalah tuduhan yang serius yang mana seorang setiausaha agung mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikannya. Setiausaha agung mesti bertindak…

“Ini merupakan pengabaian tugas oleh setiausaha agung secara terang-terangan kerana tidak bertindak atas tuduhan serius yang dibawa secara rasmi oleh majlis pimpinan negeri (MPN) Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan PKR Sarawak menemukan lebih 1,000 anggota baru parti itu telah menafikan mereka pernah bersetuju atau memohon untuk menyertai PKR.

Selain itu, lebih 1,000 anggota tidak mempunyai nombor keanggotaan parti, manakala sejumlah nombor didapati muncul lebih sekali dalam senarai keanggotaan.

Dakwaan pencurian data, penipuan

Bawin memberi amaran bahawa cara pendaftaran sedemikian boleh menjadi pelanggaran terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 jika didapati berlaku pencurian data dan penipuan.

“Kita patut sedar akan jenayah kesalahan yang didakwa dan janji parti kami untuk peraturan undang-undang yang terpakai kepada semua, termasuk parti kami.

“Dalam keadaan ini, apa-apa aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau cabaran terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan undang-undang di mahkamah mungkin khususnya akan menjejaskan parti dan parti pemerintah pentadbiran Pakatan Harapan secara amnya.

COMMENTS